@LaMaN SriKanDi: November 2005

Monday, November 14, 2005

Puasa 6 hari pada Syawal tingkatkan keimanan

SYAWAL dalam bahasa Arab bermaksud peningkatan. Ia bermakna bahawa frekuensi ibadah umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan diharapkan semakin memperlihatkan peningkatan dari sudut kualiti amalnya sesudah Ramadan. Hal ini wajar kerana latihan selama sebulan Ramadan itu sebaiknya dapat dijadikan pelajaran yang sangat bermanfaat.

Mukmin yang berjaya dalam menghadapi dan menyelesaikan pendidikan dalam madrasah Ramadan akan lahir sebagai ‘pemenang’ iaitu pemenang pada Aidilfitri. Hakikatnya, Aidilfitri milik orang yang berpuasa Ramadan kerana mana mungkin kemenangan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan perjuangan.
Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa selama enam hari pada Syawal.Matlamat puasa ialah melahirkan takwa. Maka, setelah Ramadan berakhir, bukan bermakna tamat pula suasana ketakwaan kepada Allah.
Kita harus mampu membuktikan keberhasilan ibadah Ramadan itu dengan peningkatan ketakwaan kepada Allah.Syawal bererti peningkatan, maka di sinilah letak pentingnya memelihara nilai ibadah Ramadan, terutama dalam memelihara ketakwaan kita kepada Allah Selepas umat Islam menyambut lebaran dengan kegembiraan dan saling bermaaf-maafan, diharapkan mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan kejahatan pada hari berikutnya. Hal ini bermakna seseorang itu benar-benar dilatih menerusi Ramadan dan ternyata ia meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttaqin.
Amalan yang perlu dilakukan pada bulan Syawal :
1) Bersedekah kepada golongan memerlukan kerana bersedekah adalah cara terbaik menunjukkan kesyukuran di atas nikmat Allah.

2) Dalam kesibukan membuat persiapan hari raya, perlu dielakkan campur aduk antara amalan baik dengan perkara yang ditegah.

3) Percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan dan jangan melakukan perlanggaran batas agama.

4) Menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara, antaranya memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan hanya hari untuk bergembira tetapi yang lebih utama ialah mendapat keredaan Allah.
Petikan dari Ruangan Agama Berita Harian 14 November 2005, bersamaan 12 Syawal 1426

Friday, November 11, 2005

Desa tercinta...

ALA KADAR DI HARI RAYA DAN PUASA ENAM

ALHAMDULILLAH, kita telah pun berjaya melepasi jihad hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan. Sesungguhnya bukanlah perkara yang mudah untuk melawan hawa nafsu kerana jika tanpa kawalan yang bersungguh dan keikhlasan dari hati yang beriman, pasti hawa nafsu dapat menguasai akal dan fikiran kita pula. Bertuahlah bagi siapa yang berlapar dahaga dan juga dapat menjaga lidah, hati dan akhlaknya di sepanjang bulan Ramadan kerana Allah Subhanahu Wataala akan memberi ganjaran mengikut kehendak-Nya terhadap mereka itu. Berlainan dengan siapa yang hanya menahan lapar dahaga dan sesungguhnya mereka ini tidak akan men-dapat apa-apa dari Allah Subhanahu Wataala melainkan hanya lapar dan dahaga. Di samping itu, berpuasa juga mengingatkan kita kepada mereka yang hidup susah, yang mana perut mereka tidak pernah kenyang tambahan lagi setiap hari terpaksa membanting tulang untuk mendapatkan sesuap nasi.

Bagi siapa yang menang dalam jihad ini sudah setentunya diraikan sebagai sebahagian ganjaran dari Allah Subhanahu Wataala. Apabila datang saja bulan Syawal maka Allah Subhanahu Wataala telah mengharamkan berpuasa pada hari pertama Hari Raya Fitrah semata-mata untuk meraikan hamba-hamba-Nya agar kita tidak lupa untuk bersyukur kepada rahmat-Nya yang maha luas. Kita juga disyariatkan untuk berzakat fitrah sebagai untuk mengingatkan kita terhadap orang yang miskin dan hidupnya susah.

Dalam pada kita meraikan kemenangan kita di bulan Syawal ini, kita juga harus beringat kerana dalam bergembira itu juga ada batasnya. Janganlah hendaknya kita melupakan pula apa yang telah kita praktikkan sepanjang Ramadan iaitu setelah sebulan berlapar dahaga maka kedatangan Syawal ini kita ambil kesempatan untuk membedal apa saja yang dihidangkan di depan mata untuk 'mendulur' nafsu makan yang ditahan selama sebulan berpuasa. Ini adalah kerana ramai orang yang berebut mengambil pahala menjamu tetamu di bulan yang mempunyai pelbagai kebajikan ini.

Amalan ini adalah amat digalakkan akan tetapi para tetamu perlu ingat untuk mengawal nafsu makan kerana jika perut terlalu kenyang nafsu tidak mudah dikawal. Maka dengan itu bagi mengawal lagi hawa nafsu kita agar terus menjadi jinak, kita digalakkan pula berpuasa enam hari dari bulan Syawal di samping itu juga dapat menambahkan lagi saham pahala kita dan juga mendapat beberapa kelebihan seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

Dari Abu Ayyub, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkata: "Barang siapa berpuasa bulan Ramadan kemudian ia berpuasa pula enam hari pada bulan Syawal, adalah seperti berpuasa sepanjang masa.'' (Riwayat Muslim).

Manakala bagi setiap orang yang berbuat amal kebajikan seperti menjamu tetamu dan saling bermaafan di bulan ini juga akan mendapat kelebihan sepuluh kali ganda pahalanya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Tsauban:

"Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan berpuasa enam hari sesudah berbuka (Aidilfitri) adalah puasanya sempurna satu tahun, siapa yang berbuat kebaikan diberi pahala sepuluh kali ganda.'' (Riwayat Ibnu Hibban).

Sebahagian ulama juga ada mengatakan bahawa orang yang berpuasa enam di bulan Syawal memperolehi beberapa kelebihan:
1. Berkah dalam umurnya.
2. Bertambah hartanya.
3.Terjaga keluarganya.
4. Terhapus semua kejahatannya.
5. Dilipatgandakan kebaikannya.
6. Mudah dalam sakaratulmaut.
7. Penerangan dalam kuburnya.
8. Berat timbangan kebaikannya di hari hisab.
9. Selamat dari semua tindakan yang rendah.
10. Naik darjatnya.

Sesungguhnya apa yang ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala itu terlindung seribu hikmah dan kesemuanya itu adalah kebaikan diri kita juga. Di samping itu juga untuk mengingatkan kita dalam setiap tindak-tanduknya yang kita lakukan agar kita sentiasa membatasi amalan seharian kita melalui batas-batas Islam.

Wednesday, November 09, 2005

Salam Lebaran

Sign my Guestbook from Bravenet.com Get your Free Guestbook from Bravenet.com