@LaMaN SriKanDi: Puasa 6 hari pada Syawal tingkatkan keimanan

Monday, November 14, 2005

Puasa 6 hari pada Syawal tingkatkan keimanan

SYAWAL dalam bahasa Arab bermaksud peningkatan. Ia bermakna bahawa frekuensi ibadah umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan diharapkan semakin memperlihatkan peningkatan dari sudut kualiti amalnya sesudah Ramadan. Hal ini wajar kerana latihan selama sebulan Ramadan itu sebaiknya dapat dijadikan pelajaran yang sangat bermanfaat.

Mukmin yang berjaya dalam menghadapi dan menyelesaikan pendidikan dalam madrasah Ramadan akan lahir sebagai ‘pemenang’ iaitu pemenang pada Aidilfitri. Hakikatnya, Aidilfitri milik orang yang berpuasa Ramadan kerana mana mungkin kemenangan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan perjuangan.
Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa selama enam hari pada Syawal.Matlamat puasa ialah melahirkan takwa. Maka, setelah Ramadan berakhir, bukan bermakna tamat pula suasana ketakwaan kepada Allah.
Kita harus mampu membuktikan keberhasilan ibadah Ramadan itu dengan peningkatan ketakwaan kepada Allah.Syawal bererti peningkatan, maka di sinilah letak pentingnya memelihara nilai ibadah Ramadan, terutama dalam memelihara ketakwaan kita kepada Allah Selepas umat Islam menyambut lebaran dengan kegembiraan dan saling bermaaf-maafan, diharapkan mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan kejahatan pada hari berikutnya. Hal ini bermakna seseorang itu benar-benar dilatih menerusi Ramadan dan ternyata ia meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttaqin.
Amalan yang perlu dilakukan pada bulan Syawal :
1) Bersedekah kepada golongan memerlukan kerana bersedekah adalah cara terbaik menunjukkan kesyukuran di atas nikmat Allah.

2) Dalam kesibukan membuat persiapan hari raya, perlu dielakkan campur aduk antara amalan baik dengan perkara yang ditegah.

3) Percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan dan jangan melakukan perlanggaran batas agama.

4) Menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara, antaranya memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan hanya hari untuk bergembira tetapi yang lebih utama ialah mendapat keredaan Allah.
Petikan dari Ruangan Agama Berita Harian 14 November 2005, bersamaan 12 Syawal 1426

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Sign my Guestbook from Bravenet.com Get your Free Guestbook from Bravenet.com