@LaMaN SriKanDi

Friday, September 29, 2006

Bersahur cara Rasulullah

Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923)

Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar.

Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120)

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643)
Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.

Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664)

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919)
Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan.

Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187)
Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920)

Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114)
Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921)

Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum.

Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda.

Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.
2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Tuesday, April 04, 2006

Program Bina Insan Guru di Pangkor 21 hingga 24 Mac 2006


Bersama classmates dan para mentor selepas program di jeti Pulau Pangkor.

Monday, December 05, 2005

Aku Tanpa CintaMu


Telah ku mungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali
Ku ulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi
Apakah kau terima cintaku lagi
Setelah ku berpaling
Dari pandanganMu
Yang kabur kerna jahilnya aku


Mengapa cintaMu tak pernah hadir
Subur dalam jiwaku
Agarku tetap bahagia
Tanpa cintaku tetaplah
Kau di sana
Aku tanpa cintaMu
Bagai layang-layang terputus talinya


Telah ku mungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali
Ku ulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi
Apakah kau terima cintaku lagi
Setelah ku berpaling
Dari pandanganMu
Yang kabur kerna jahilnya aku


Masihkah ada sekelumit belas
Mengemis kasihMu Tuhan
Untukku berpaut dan bersandar
Aku di sini kan tetap terus mencuba
Untuk beroleh cintaMu
Walau ranjaunya menusuk pedih

Monday, November 14, 2005

Puasa 6 hari pada Syawal tingkatkan keimanan

SYAWAL dalam bahasa Arab bermaksud peningkatan. Ia bermakna bahawa frekuensi ibadah umat Islam yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan diharapkan semakin memperlihatkan peningkatan dari sudut kualiti amalnya sesudah Ramadan. Hal ini wajar kerana latihan selama sebulan Ramadan itu sebaiknya dapat dijadikan pelajaran yang sangat bermanfaat.

Mukmin yang berjaya dalam menghadapi dan menyelesaikan pendidikan dalam madrasah Ramadan akan lahir sebagai ‘pemenang’ iaitu pemenang pada Aidilfitri. Hakikatnya, Aidilfitri milik orang yang berpuasa Ramadan kerana mana mungkin kemenangan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan perjuangan.
Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa selama enam hari pada Syawal.Matlamat puasa ialah melahirkan takwa. Maka, setelah Ramadan berakhir, bukan bermakna tamat pula suasana ketakwaan kepada Allah.
Kita harus mampu membuktikan keberhasilan ibadah Ramadan itu dengan peningkatan ketakwaan kepada Allah.Syawal bererti peningkatan, maka di sinilah letak pentingnya memelihara nilai ibadah Ramadan, terutama dalam memelihara ketakwaan kita kepada Allah Selepas umat Islam menyambut lebaran dengan kegembiraan dan saling bermaaf-maafan, diharapkan mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan kejahatan pada hari berikutnya. Hal ini bermakna seseorang itu benar-benar dilatih menerusi Ramadan dan ternyata ia meninggalkan kesan positif dalam usaha membentuk insan muttaqin.
Amalan yang perlu dilakukan pada bulan Syawal :
1) Bersedekah kepada golongan memerlukan kerana bersedekah adalah cara terbaik menunjukkan kesyukuran di atas nikmat Allah.

2) Dalam kesibukan membuat persiapan hari raya, perlu dielakkan campur aduk antara amalan baik dengan perkara yang ditegah.

3) Percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan dan jangan melakukan perlanggaran batas agama.

4) Menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara, antaranya memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan hanya hari untuk bergembira tetapi yang lebih utama ialah mendapat keredaan Allah.
Petikan dari Ruangan Agama Berita Harian 14 November 2005, bersamaan 12 Syawal 1426

Friday, November 11, 2005

Desa tercinta...

ALA KADAR DI HARI RAYA DAN PUASA ENAM

ALHAMDULILLAH, kita telah pun berjaya melepasi jihad hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan. Sesungguhnya bukanlah perkara yang mudah untuk melawan hawa nafsu kerana jika tanpa kawalan yang bersungguh dan keikhlasan dari hati yang beriman, pasti hawa nafsu dapat menguasai akal dan fikiran kita pula. Bertuahlah bagi siapa yang berlapar dahaga dan juga dapat menjaga lidah, hati dan akhlaknya di sepanjang bulan Ramadan kerana Allah Subhanahu Wataala akan memberi ganjaran mengikut kehendak-Nya terhadap mereka itu. Berlainan dengan siapa yang hanya menahan lapar dahaga dan sesungguhnya mereka ini tidak akan men-dapat apa-apa dari Allah Subhanahu Wataala melainkan hanya lapar dan dahaga. Di samping itu, berpuasa juga mengingatkan kita kepada mereka yang hidup susah, yang mana perut mereka tidak pernah kenyang tambahan lagi setiap hari terpaksa membanting tulang untuk mendapatkan sesuap nasi.

Bagi siapa yang menang dalam jihad ini sudah setentunya diraikan sebagai sebahagian ganjaran dari Allah Subhanahu Wataala. Apabila datang saja bulan Syawal maka Allah Subhanahu Wataala telah mengharamkan berpuasa pada hari pertama Hari Raya Fitrah semata-mata untuk meraikan hamba-hamba-Nya agar kita tidak lupa untuk bersyukur kepada rahmat-Nya yang maha luas. Kita juga disyariatkan untuk berzakat fitrah sebagai untuk mengingatkan kita terhadap orang yang miskin dan hidupnya susah.

Dalam pada kita meraikan kemenangan kita di bulan Syawal ini, kita juga harus beringat kerana dalam bergembira itu juga ada batasnya. Janganlah hendaknya kita melupakan pula apa yang telah kita praktikkan sepanjang Ramadan iaitu setelah sebulan berlapar dahaga maka kedatangan Syawal ini kita ambil kesempatan untuk membedal apa saja yang dihidangkan di depan mata untuk 'mendulur' nafsu makan yang ditahan selama sebulan berpuasa. Ini adalah kerana ramai orang yang berebut mengambil pahala menjamu tetamu di bulan yang mempunyai pelbagai kebajikan ini.

Amalan ini adalah amat digalakkan akan tetapi para tetamu perlu ingat untuk mengawal nafsu makan kerana jika perut terlalu kenyang nafsu tidak mudah dikawal. Maka dengan itu bagi mengawal lagi hawa nafsu kita agar terus menjadi jinak, kita digalakkan pula berpuasa enam hari dari bulan Syawal di samping itu juga dapat menambahkan lagi saham pahala kita dan juga mendapat beberapa kelebihan seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

Dari Abu Ayyub, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkata: "Barang siapa berpuasa bulan Ramadan kemudian ia berpuasa pula enam hari pada bulan Syawal, adalah seperti berpuasa sepanjang masa.'' (Riwayat Muslim).

Manakala bagi setiap orang yang berbuat amal kebajikan seperti menjamu tetamu dan saling bermaafan di bulan ini juga akan mendapat kelebihan sepuluh kali ganda pahalanya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Tsauban:

"Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan berpuasa enam hari sesudah berbuka (Aidilfitri) adalah puasanya sempurna satu tahun, siapa yang berbuat kebaikan diberi pahala sepuluh kali ganda.'' (Riwayat Ibnu Hibban).

Sebahagian ulama juga ada mengatakan bahawa orang yang berpuasa enam di bulan Syawal memperolehi beberapa kelebihan:
1. Berkah dalam umurnya.
2. Bertambah hartanya.
3.Terjaga keluarganya.
4. Terhapus semua kejahatannya.
5. Dilipatgandakan kebaikannya.
6. Mudah dalam sakaratulmaut.
7. Penerangan dalam kuburnya.
8. Berat timbangan kebaikannya di hari hisab.
9. Selamat dari semua tindakan yang rendah.
10. Naik darjatnya.

Sesungguhnya apa yang ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala itu terlindung seribu hikmah dan kesemuanya itu adalah kebaikan diri kita juga. Di samping itu juga untuk mengingatkan kita dalam setiap tindak-tanduknya yang kita lakukan agar kita sentiasa membatasi amalan seharian kita melalui batas-batas Islam.

Wednesday, November 09, 2005

Salam Lebaran

Friday, October 21, 2005

10 cara meraikan Ramadan

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasiq. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan dahaga. (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seorang itu berpuasa, maka janganlah dia bercakap lucah, berbuat fasiq dan kejahilan. Jika seseorang mencacinya, maka hendaklah dia menjawab: "Aku sedang berpuasa.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Menghidupkan malam dengan beribadah (Qiamullail). Sesungguhnya ibadah Qiamullail adalah kegemaran Nabi dan para sahabatnya. Kata Aishah r.a.: ''Janganlah kamu meninggalkan ibadat Qiamullail kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda sakit atau keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk."

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau membangunkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: "Solat, solat." sambil membaca ayat 132 daripada Surah Thaha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.

3. Bersedekah. Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Baginda s.a.w: Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. (Riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan boleh menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan. Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke dalam syurga Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Wahai manusia, sebarkanlah salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat.(Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda s.a.w. bersabda lagi di dalam hadis yang lain: Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa itu. (Riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf mengkhatam al-Quran ketika mengerjakan Qiamullail padai malam Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamnya seminggu sekali. Terdapat juga mereka yang mengkhatamnya sepuluh hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. membaca Surah Al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat 6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam. Beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya lagi meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah s.a.w. selesai menunaikan solat Subuh, Baginda akan terus duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, Baginda s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah s.w.t. sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna. Kata Albani: Hadis ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Manakala pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Nabi Muhammad s.a.w. akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka'ab berkata: "Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah s.a.w., ialah matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup." (Riwayat Muslim).

Di dalam hadis lain, Aishah r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, jika aku bertemu dengan Lailatul Qadar, apa yang patut aku katakan?" Jawab baginda: "Katakanlah: Allahumma innaka 'afuwwun, tuhibbul 'afwa fa'fu a'nni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah segala kesalahanku)." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Kata Albani: Hadis ini sahih).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab. Di antaranya ialah: Waktu berbuka, Sepertiga malam yang terakhir, Waktu Sahur dan Hari Jumaat.

Oleh yang demikian, para salaf amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan zikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Esa.

Daripada Muhammad bin Wasi, katanya: "Aku melihat beberapa lelaki, di antara mereka ada seorang yang tidur sebantal dengan isterinya dalam keadaan berlinangan air mata, sedangkan isterinya tidak sedar.

Diriwayatkan bahawa Ayyub as-Sakhtayani bangun mengerjakan solat sepanjang malam dalam keadaan yang senyap sunyi. Apabila telah hampir waktu Subuh, barulah terdengar suaranya, seolah-olah beliau baru terjaga dari tidurnya.
Petikan : utusan.com.my (Bicara Agama)

NUZUL AL-QURAN


PERISTIWA Nuzul al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung oleh setiap Muslim. Ini kerana bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan dengan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah yang Esa. Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat.Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 108, yang bermaksud:
“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.”
Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa, melalui utusan Nabi Muhammad saw yang diangkat oleh Allah sebagai Rasul, Baginda menjadi rahmat bagi seluruh alam kerana membawa petunjuk (al-Quran) yang memandu manusia ke jalan yang selamat dan sejahtera.Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad.Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada Rasulullah dalam menghadapi cabaran dalam menyebar dan menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang suatu ketika dulu hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-QuranPeristiwa Nuzul al-Quran yang berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam.
Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.“Al-Quran” pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu, terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muammalat dan sebagainya.Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Ini kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah bermaksud :
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran seharusnya dihayati oleh umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat sebagai asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. Dengan berlakunya Nuzul al-Quran, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah. Banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman ke arah mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud:
“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 2).
Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, tetapi apa yang lebih utama menjadikannya sebagai panduan dan pedoman sepanjang hayat. Itulah sebabnya al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam. Al-Quran di samping membawa maksud kitab bacaan, juga dikenali sebagai al-Nur, al-Furqan, al-Zikr dan lain-lain lagi yang secara tidak langsung menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Justeru itu, bagaimana seharusnya sikap kita agar al-Quran itu boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta memberi peringatan? Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya? Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya. Demikianlah juga penghambaan kepada Allah tidak akan sempurna melainkan selepas difahami dan diamalkan kehendak-Nya kerana semua kehendak Allah itu tercatat dalam al-Quran.
Petikan : bharian.com.my

Sign my Guestbook from Bravenet.com Get your Free Guestbook from Bravenet.com